Sunday, December 15, 2013

My Spieldose - Bab 1

IVY menggeliat malas. Matanya digosok beberapa kali. Ivy terpisat-pisat. Siapa punya rumah pulak ni ? Kenapa macam, lain macam je. Bisik Ivy sendirian. Sungguh dia tak berapa kenal dengan rumah itu. Setahu dia, rumahnya tersangatlah berbeza dengan rumah yang dia berada sekarang.

Kemanakah perginya rumah papan yang buruk itu ? Atap yang sering kali mengganggu tidur dia pada pukul tiga empat pagi setiap kali hujan lebat mula turun. Kemanakah perginya tilam nipis yang mengalaskan tidurnya ? Ke manakah pelita yang sering menemani dia membuat ulang kaji sehingga larut malam dulu ? Mana perginya semua itu ?

Kepala yang terasa pening dipegang. Apa yang dah terjadi ni. Matanya meliar memandang suasana di dalam bilik itu. Suis lampu cuba dicari walaupun keadaan gelap gelita. Tik !

Mulut ditekup kuat. Terpampang sekujur tubuh yang tidak berbaju dan hanya berselimutkan kain tebal sedang terbaring lena di atas katil. Ya Allah. Siapa lelaki itu ? Macam mana dia boleh berada di  situ ? Adakah dia dan lelaki itu dah…

Tanpa memikirkan apa-apa…

“ Argh !!!!! Perogol ! Perogol ! Tolong ! Ada perogol !”

Jeritan Ivy yang terlampau kuat itu mengejutkan tidur Ethan. Segera dia bangun dari pembaringan lalu memegang kepala yang terasa sedikit pening kerana dikejutkan dari tidur secara mengejut.

“ Dah buang tebiat ke apa jerit pagi-pagi buta macam ni. Dah tak ada kerja ?” soal Ethan kasar. Badannya direbahkan kembali ke atas katil. Selimut dicapai lalu diselubungkan pada badan. Mukanya disembamkan pada bantal.

Ivy memandang lelaki yang tidak dikenali itu dengan pandangan yang tidak percaya. Kenapa lelaki itu berlagak macam mereka kenal saja ? Vivvy bukan seorang yang mudah memberikan maruahnya pada sesiapa ok ! Walaupun dia bukanlah seorang yang baik, tapi dia tak akan sesekali menyerahkan kesuciannya itu pada lelaki yang bukan sebarangan. Tidak akan !

Sebuah bantal kecil dicapai lalu dicampak kasar pada lelaki separuh bogel itu. Tepat mengena kepalanya.

Ethan mengeluh kasar sebelum dia bangun akibat terasa jengkel ya amat dengan perempuan di hadapannya itu. “ Kau ni dah kenapa, Iv ! Pagi-pagi dah buat hal ! Semalam kau minum lagi kan ! Tu yang jadi gila macam ni. Serabutlah !” Ethan meraup wajahnya sebelum jelingan tajam dihadiahkan pada Ivy.

Ivy menelan air liur. Oih, handsomenya mamat ni. Eh ! Mana boleh dia terpukau pada masa-masa kritikal macam ni. Patutnya lelaki itu harus makan penumbuknya kerana telah meragut kesuciannya !

Jari telunjuk dihalakan pada Ethan yang duduk selamba di atas katil sambil tangan sebelah kanannya diletakkan ke atas lutut belah kanan. “ Kau siapa hah ?! Apa yang kau dah buat dekat aku ?!” soal Ivy tegas sambil jari telunjuknya dihalakan pada Ethan dan yang sebelah lagi memegang hujung gaun malam separas peha supaya menutupi bahagian bawah. Elok-elok menutupi punggung saja. Habis peha dia yang putih melepak itu tidak dapat ditutupi.

Ethan tergelak kecil. Senyuman sinis ditayang.

“ Ivy, kau ni kenapa. Ni aku lah !”

Ivy menggeleng kepalanya deras. Dia langsung tak kenal dengan lelaki di hadapannya itu.

“ Kau tak jawab soalan aku lagi ! Kau siapa hah !” jerit Ivy kuat. Hampir mengalir air dari tubir matanya. Tidak sangka hidupnya akan berubah menjadi gelap seperti ini. Ohh, tidak dapat dia bayangkan penerimaan mak dan ayah di kampung.

Ethan meraup rambutnya berkali-kali. Kusut kepala dia melayan perempuan itu.

“ Aku suami kau lah ! Kau kenapa ?!” tengking Ethan kuat membuatkan Ivy secara automatik terdiam tidak berkutik.

“ Kau jangan nak tipu aku lah ! Aku baru dua puluh tahun ni ! Muda lagi, mana boleh kahwin ! Kau jangan nak tipu aku lah, perogol !”

“ Iv ! Kau ni kenapa ? Umur kau dah tiga puluh lah. And yes, nak tak nak, kau kena terima juga sebab aku dengan kau memang dah kahwin pun. Dah tiga bulan !”

Kata-kata lelaki yang tidak dikenalinya itu betul-betul menyentakkan Ivy. Dia terduduk di atas karpet yang berbulu sambil kepala menerawang memikirkan sesuatu.  Dia keliru. Bukan semalam dia baru masuk dua puluh tahun ke ? Tapi kenapa hari ni tiba-tiba tiga puluh pulak ? Bukan setakat tu je, dia sudahpun mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang tidak dikenalinya.

Kalau yang elok sikit dapat, tak apa jugak. Ini yang miang menggeletis jugak yang dia dapat. Selamba je bangun dari tidur dengan hanya seluar boxer pada badan sambil tayang muka menggoda. Gila ! Tidak dapat dia membayangkan apa yang terjadi semalam. Oh, horror

Tapi yang peliknya, kalau betullah lelaki itu suami dia, kenapa yang handsome ? Bukankah dia hanya penjual nasi lemak ? Seorang penjual nasi lemak berkahwin dengan lelaki sekacak dan sepanas Josh Kloss ? Oh myy,…tak mungkin ! Apa yang dah jadi pada dia ? Kenapa tiba-tiba umur dua puluh tiba-tiba bertambah sepuluh ? Macam mana dia boleh berkahwin dengan lelaki sekacak itu ? Tidur sekatil pulak tu !! Oh, panasss…



Hari Lahir Ivy yang ke-20

SEBIJI cupcake yang dipacakkan lilin di atasnya itu cukup menggembirakan adik beradiknya. Walaupun kecil dan tidak cukup untuk ahli keluarganya yang ramai sudah cukup menggembirakan hati semua orang.

“ Akak, buat lah wish cepat !” ujar Damia, adik Ivy yang paling bongsu.

“ Adik, mana boleh buat wish. Berdosalah. Kitakan ada Tuhan, apa yang kita nak, kita boleh minta pada Allah. Bukannya pada sebatang lilin ni.” Ujar Ivy lalu memaniskan muka.

“ Kalau macam tu, tiuplah lilin tu kak.”

Ivy tersenyum lalu mengusap kepala adiknya sebelum sebatang lilin itu ditiup. Semua adik-beradiknya menepuk tangan kegembiraan.

Bestnya kak dapat sambut birthday walaupun kek kita ni tak sebesar orang lain kan.” Ujar Damia lagi.

“ Hmm. Kita kena bersyukur dengan apa yang kita ada. Memang ini je yang kita mampu buatkan ?”

Damia mengangguk seraya memeluk erat pinggang akaknya.

“ Ini hadiah untuk along.” Ujar Puan Julia lalu sebuah kotak yang berbalut itu diserahkan kepada Ivy. Ivy menyambutnya dengan wajah yang ceria.

“ Apa ni mak. Susah-susah je.”

“ Tak apa. Ini kan hari jadi along yang kedua puluh. Mestilah kena ada hadiahkan.”

“ Tapi, mak. Duit kita kan sikit. Tak payah lah bazirkan untuk benda yang tak penting.”

Puan Julia menggelengkan kepala.

“ Tak apa. Mak ada duit lebih. Jangan risau.” Balas Puan Julia dengan nada yang sedikit sayu. Ada perkara penting yang dia harus beritahu anak gadisnya itu tetapi dia tidak sanggup.

“ Kenapa ni mak. Kenapa mak macam sedih je ?” tanya Ivy setelah menyedari wajah emaknya yang bertukar sedih.

“ Hmm, mak nak cakap dengan Iv kejap.”

Ivy mengangguk seraya mengikut langkah Puan Julia ke belakang dapur.

“ Apa dia mak ?”

“ Iv, sebenarnya, yang pasal universiti tu…”

“ Kenapa mak ? Iv boleh pergi ke ?” tanya Ivy ceria. Kalau betullah dia dapat menyambung pelajarannya ke pengajian tinggi, tentu dia adalah orang yang paling bahagia sekali. Memang itulah impiannya sejak dari dulu.

“ Sebenarnya Iv, mak dengan ayah kamu, tak cukup duit nak hantar kamu belajar. Mak harap kamu bersabarlah untuk beberapa tahun lagi ya. Nanti kita fikirkan macam mana nak dapat duit ya nak ?”

Senyuman Ivy mati.

“ Tapi mak dah janji ! Kawan-kawan Ivy semua dah sambung belajar. Ivy seorang je belum lagi. Sampai bila Ivy nak tunggu mak ?! Sampai bila ?! Sampai Ivy umur tiga puluh ke baru Iv dapat merasa hidup senang ?! Iv dah tak larat dah nak hidup macam ni lagi ! Iv tak larat ! Iv tak peduli, Iv tetap nak sambung belajar jugak ! Iv tak peduli !”

“ Iv, jangan macam ni nak. Mak mintak maaf.” Puan Julia menangis teresak-esak. Dia tahu anaknya kecewa dan disebabkan dia lah juga anaknya itu tidak dapat melanjutkan pelajaran ke university.

Di dalam bilik, Ivy menangis semahu-mahunya. Dia kecewa ! Sangat kecewa ! Selama ini, tidak pernah dia meminta apa-apa dari mak dan ayahnya. Tapi kali ini dia hanya minta untuk menyambungkan pelajaran ke pengajian tinggi sahaja. Itu sahaja. Adakah selama ini dia doa siang malam itu hanyalah usaha yang sia-sia ?

Disebabkan kemiskinan keluarga, habis hancur lebur impiannya untuk ke menara gading sedangkan hanya itu sahaja permintaannya. Air mata yang mengalir dilap menggunakan hujung baju kurung lusuh yang dipakai. Matanya terarah pada sebuah kotak hadiah yang diberikan padanya.

Pembalut hadiah dikoyakkan sebelum penutup kotak dibuka perlahan.

Kotak muzik ? Penutup kotak muzik antik itu dibuka. Sebuah lagu yang halus bunyinya berkumandang sehinggalah matanya semakin kuyu, dan kuyu dan…akhirnya, terlelap. Hanya lagu dari kotak muzik itu sahaja yang berkumandang.

4 comments:

  1. Akak please sambung lagi :( sy suka sangat dengan gaya akak tulis.. hari2 sy bukak blog akak.. tpi hampa jer , huhuhu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. sorry dik...akk sibuk siapkan mss, tu yg xdpt nk update slalu tu...nnti akk cube utk update lgi ok...=)

      Delete